Pages

Wednesday 16 February 2011

Sektor swasta diminta bantu penuntut kembali ke Mesir



KUALA LUMPUR 15 Feb. - Penuntut-penuntut Malaysia yang dibawa pulang dari Mesir memohon badan-badan korporat dan swasta menghulurkan sumbangan dengan menaja tiket penerbangan mereka kembali ke negara itu bagi menyambung semula pengajian selepas krisis politik di sana pulih.

Beberapa penuntut yang dihubungi Utusan Malaysia hari ini berterima kasih kepada kerajaan kerana membawa rakyat Malaysia keluar dari Mesir ketika pergolakan memuncak dengan mengeluarkan perbelanjaan cukup besar dan kini mereka mengharapkan bantuan pihak swasta untuk kembali ke negara itu bagi menyambung pengajian.

Menurut mereka, walaupun harga tiket penerbangan sehala dari Kuala Lumpur ke Mesir adalah sekitar RM1,800 hingga RM2,500 seorang, namun kebanyakan mereka adalah daripada keluarga yang berpendapatan sederhana dan tidak mampu mengumpulkan jumlah itu dalam waktu yang singkat.

Pengerusi Kelab UMNO Kaherah, Wan Sherhan Seruji, 20, berkata, terdapat segelintir penuntut Malaysia tidak pernah pulang ke tanah air sepanjang belajar di negara itu kerana tidak mampu membeli tiket kapal terbang.

"Keadaan ini sedikit sebanyak membebankan sesetengah penuntut terutama golongan yang tidak berkemampuan dan berkeluarga. Mereka tidak pernah pulang ke tanah air kerana menghadapi kekangan dari segi kewangan.

"Saya berharap penaja-penaja pengajian turut prihatin mengenai perkara ini dan sudi menaja tiket penerbangan untuk kami pulang ke Mesir bagi menyambung semula pengajian," katanya di sini hari ini.

Penuntut tahun tiga jurusan perubatan di Universiti Ain Shams itu diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Menteri Luar, Senator A. Kohilan Pillay mengenai kos bagi penuntut Malaysia yang ingin kembali ke Mesir bagi meneruskan pengajian selepas krisis politik di negara itu pulih adalah atas tanggungan sendiri.

Menurut Kohilan, ia merupakan perkara yang normal apabila kerajaan melaksanakan sesuatu proses pemindahan rakyat Malaysia sekiranya berlaku situasi tertentu seperti krisis politik, bencana alam dan kecemasan di sesebuah negara.

Dalam nada yang sama, penuntut tahun tiga jurusan perubatan di Universiti Tanta, Anis Atiqah Zulkifli, 22, memohon sektor swasta mempertimbangkan permohonan penuntut kerana mereka perlu menghadapi peperiksaan dalam tempoh terdekat ini.

"Tarikh peperiksaan bagi penuntut perubatan dijangka pada 8 Mac ini. Perkara ini membebankan kami kerana kesuntukan masa untuk mengumpul wang bagi membeli tiket penerbangan ke Mesir.

"Kami turut menyedari kerajaan telah mengeluarkan peruntukan yang cukup besar dalam Ops Piramid, jadi kami berharap sektor lain pula menghulurkan bantuan. Paling tidak bantu penuntut yang kurang mampu atau membayar separuh daripada harga tiket penerbangan itu.

"Harga tiket RM1,800 hingga RM2,500 seorang memang mahal, bayangkan bagi mereka yang sudah berkeluarga, bagaimana mahu mengumpul jumlah wang yang banyak dalam tempoh yang singkat?" ujarnya.

Bagi Nur Atiqa Osman, 22, kebanyakan daripada mereka harus pulang segera ke Mesir kerana telah terlepas menjalani ujian pertengahan tahun bagi memperoleh markah terkumpul.

"Pada 12 Februari lalu, kami terlepas mengambil peperiksaan kerana dikehendaki pulang ke Malaysia atas sebab keselamatan kerana ketika itu keadaan di Mesir sangat berbahaya.

"Sebenarnya kami susah hati memikirkan tentang pengajian yang masih tergantung dan sekiranya terdapat pihak yang prihatin dan sudi membantu, kami sangat bersyukur," katanya.

Menyentuh mengenai usaha kerajaan untuk membuat penyelarasan dengan universiti di Mesir bagi membolehkan penuntut Malaysia menduduki peperiksaan dalam negara, Nur Atiqa menyokong usaha tersebut kerana selain boleh menjimatkan kos, mereka turut dapat menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap pelajaran.

Penuntut tahun akhir di Universiti Al Azhar, Fauzi Naim Harun, 27, pula berkata, dia antara pelajar yang menanggung sendiri pengajiannya dan berharap ada pihak tertentu sudi menghulurkan bantuan.

"Walaupun mata wang Mesir lebih rendah berbanding ringgit, tetapi kos sara hidup di negara itu sangat tinggi lebih-lebih lagi harga barang makanan," katanya.

Sementara itu bapa kepada seorang cahaya mata, Ezmir Hafizi Ibrahim, 27, berkata, dia sangat memerlukan bantuan bagi membolehkan keluarganya kembali ke Mesir.

"Saya dan isteri berharap Pusat Zakat Selangor dan Perak sudi menghulurkan bantuan kerana kami merupakan penuntut di bawah tajaan dua pihak berkenaan.

"Saya memerlukan hampir RM8,000 bagi menampung kos keluarga kembali ke Mesir kerana harga tiket mahal," katanya.
Ezmir Hafizi berharap mesyuarat antara pegawai Pusat Zakat Selangor dengan kerajaan negeri itu pada petang ini bersetuju untuk meringankan beban penuntut-penuntut sepertinya untuk kembali ke Mesir.

sumber Utusan Malaysia

No comments: