Pages

Wednesday 21 December 2011

BR1M keprihatinan kerajaan dalam membela nasib rakyat - Seruji

undefined

Saruji Nawawi menyampaian bantuan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) berupa wang tunai RM100 kepada salah seorang pelajar di Kota Kinabalu, semalam.


KOTA KINABALU 18 Dis. - Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) merupakan bukti nyata keprihatinan kerajaan dalam meringankan beban golongan miskin dan berpendapatan rendah di negara ini.

Timbalan Ketua UMNO Kota Kinabalu, Datuk Seruji Nawawi berkata, usaha kerajaan itu juga jelas memperlihatkan bahawa hanya kerajaan yang berkredibiliti dan cekap mampu membela nasib golongan berpendapatan rendah.

Katanya, tidak banyak kerajaan di dunia ini yang begitu prihatin dengan masalah yang ditanggung oleh rakyat termasuk berusaha keras dalam meningkatkan tahap keselesaan hidup.

Sehubungan itu katanya, orang ramai harus membuka mata dan minda untuk menilai semua bantuan yang disumbangkan oleh kerajaan dalam memberi yang terbaik kepada seluruh masyarakat tanpa mengira kaum serta agama.

"Inilah kerajaan terbaik yang saban waktu bekerja keras untuk memastikan rakyat mendapat bantuan sewajarnya, malah sentiasa berfikir untuk terus membela nasib rakyat pada masa depan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian bantuan kewangan kepada 225 pelajar di daerah Kota Kinabalu menerusi peruntukan Majlis Pembangunan Keluarga dan Masyarakat (Mayang) Parlimen Kota Kinabalu.

Turut hadir Setiausaha UMNO Kota Kinabalu, Mohd. Ron Sanin; Ketua Wanita UMNO Kota Kinabalu, Rosimah Zakaria dan Ketua Puteri UMNO Kota Kinabalu, Musliati Moslimin.

Mengulas lanjut, Seruji yang merupakan Timbalan Pengerusi Mayang Parlimen Kota Kinabalu berkata, pelbagai bantuan telah disediakan oleh kerajaan dalam meringankan bebanan golongan berpendapatan rendah seperti bantuan RM500, bantuan komputer riba 1Malaysia dan bantuan RM100 kepada murid sekolah.

Menurutnya, mungkin ada pihak mempertikaikan bantuan RM100 tersebut kerana jumlah pemberiannya yang sedikit, tetapi ia jelas membuktikan bahawa kerajaan sangat peka terhadap keperluan rakyat.

"Saya berharap bantuan ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh ibu bapa kerana keprihatinan yang ditunjukkan oleh kerajaan ini adalah bagi memastikan anak-anak berasa ceria untuk ke sekolah," katanya.

sumber: Utusan Malaysia